Sengit....Panasss... Semua nak pertahankan jawatan masing-masing... Nampaknya bahang untuk mendapat dan mengekalkan jawatan dalam Wanita UMNO semakin terasa..Apa pun biarlah persaingan ni terjadi secara sihat...dan yang penting dengan niat yang betul...
Baca laporan dalam Utusan..
Kesemua Exco Pergerakan Wanita UMNO akan mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan pucuk pimpinan pergerakan itu Oktober ini.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata, selain barisan Exco, lebih 10 muka baharu menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan tersebut setakat ini.
Beliau berkata, jawatan Naib Ketua pergerakan itu pula sehingga kini menyaksikan pertandingan antara Exco Wanita UMNO merangkap Exco kerajaan negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun.
Dalam pada itu, menurut Hamidah, beliau sendiri tidak berhasrat untuk bertanding apa-apa jawatan pada pemilihan kali ini.
"Besar kemungkinan jawatan Ketua Wanita tidak akan dicabar oleh mana-mana ahli selepas bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said menarik diri daripada bertanding," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hamidah berkata, seramai 80,000 ahli akan menentukan pucuk pimpinan tertinggi pergerakan itu pada hari pengundian yang berlangsung serentak dengan Pemuda serta Puteri di peringkat pusat dan bahagian pada 12 Oktober ini.
Katanya, penamaan calon untuk semua peringkat sayap parti termasuk Majlis Tertinggi (MT) dan bahagian pula akan berlangsung pada 21 September ini di ibu pejabat dan pejabat perhubungan negeri masing-masing.
''Pada hari penamaan calon, mereka yang mahu bertanding perlu menghantar borang mempunyai nama pencadang dan penyokong serta wakil calon masing-masing yang akan dibuka pada hari tersebut bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
''Hari pengundian bagi peringkat MT pula akan berlangsung pada 19 Oktober melibatkan seramai 150,000 perwakilan bakal membuat pilihan mereka," katanya.
Setakat ini, antara yang sudah mengesahkan bertanding mempertahan jawatan Exco Wanita UMNO ialah Datuk Armani Mahiruddin, Datuk Jamelah A. Bakar, Datuk Rosni Zahari, Datuk Sharifah Azizah Syed Zin dan Datuk Norhayati Onn.
Turut mengesahkan mempertahan jawatan ialah Datuk Maznah Hamid, Datuk Marlia Abdul Latiff, Datuk Rusnah Kassim, Datuk Hasnah Salam dan Datuk Noorhayati Omar.
Calon lain ialah Datuk Noriah Mahat, Datuk Rabiyah Ali, Norliza Rahim, Azihani Ali, Roslin Abdul Rahman dan Datin Ros Suryati Alang.
Selamat Bertanding!!
No comments:
Post a Comment