Nampaknya bukannya pemerintahan PM Malaysia sekarang je makin kelam kabut... Rupa-rupanya PM kita yang lepas pun duk serabut...Aku tak paham lah..hahaha...
Tapi...kalau dikaji dan dinilai semula,ada benar kata-kata Tun Mahathir..Tun Mahathir telah bersusah payah berusaha untuk memajukan Malaysia seperti apa yang kita nikmati dan banggakan sekarang..Niat Tun Mahathir hanyalah untuk menjadikan Malaysia lebih maju dan boleh menjadi tempat pelaburan yang berbaloi untuk kemajuan ekonomi Malaysia..Walaupun modal yang dikeluarkan untuk semua ni adalah besar...
Pastu bila Tun Abdullah jadi PM, boleh pulak dia batalkan beberapa projek yang telah diusahakan dengan susah payah oleh Tun Mahathir terdahulu...Mau tak hangin Tun Mahathir..Apa orang kata...Bengkekkk je..
Baca berita lanjut dari Utusan di bawah....
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis menyatakan Malaysia akan lebih terselamat daripada krisis bankrap sekiranya Tun Abdullah Ahmad Badawi terlebih dahulu menjadi Perdana Menteri.
Menurut beliau, perkara itu berdasarkan 'kejayaan' Abdullah membatalkan projek pembinaan jambatan bengkok, projek landasan kereta api berkembar dan projek bekalan elektrik yang membabitkan kos berbilion-bilion ringgit.
Katanya, projek jambatan bengkok membabitkan kos kurang daripada RM1 bilion namun pembatalannya menyebabkan kerajaan rugi kira-kira RM200 juta dari segi nilai pampasan dan kerja-kerja yang belum selesai.
Tambahnya, pembatalan projek landasan kereta api berkembar dari Johor Bahru ke Padang Besar pula membolehkan kerajaan menjimatkan sebanyak RM14 bilion meskipun selepas itu kerajaan meluluskan projek serupa dari Ipoh ke Padang Besar dengan kos RM12 bilion.
"Saya mengakui saya adalah Perdana Menteri yang boros membelanjakan wang kerajaan untuk membina Lebuh Raya Utara-Selatan, jambatan Pulau Pinang, West Port, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya, Cyberjaya dan banyak lagi.
"Jika Abdullah terlebih dahulu menjadi Perdana Menteri, semua projek itu mungkin dibatalkan untuk menyelamatkan Malaysia daripada bankrap," katanya menerusi entri terbaharu di blognya di www.chedet.cc hari ini.
Menurut Dr. Mahathir, kerajaan ketika era Abdullah juga berjaya menyelamatkan berbilion-bilion ringgit ekoran projek koridor yang setiap satu dianggarkan menelan kos RM70 bilion tidak digerakkan.
Dalam keadaan itu, tambah beliau, kerajaan yang ada sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah sebuah kerajaan yang kaya.
Namun, apa yang dikesalkan, katanya, rakyat tidak menghargai berbilion-bilion ringgit yang diselamatkan itu sebaliknya memilih pakatan pembangkang memerintah di lima negeri selain menyebabkan kerajaan sedia ada hanya memperoleh majoriti mudah.
"Bayangkan berapa billion ringgit boleh diselamatkan jika saya berundur lebih awal sebelum membina Lebuh Raya Utara-Selatan, jambatan Pulau Pinang, KLIA, West Port, Putrajaya, Cyberjaya, Menara Berkembar Petronas dan pelbagai projek mega lain.
"Kita mungkin akan 'duduk' di atas berbilion-bilion ringgit," katanya.